Trimester ke-2 (13-28 minggu)
Ramai yang beranggapan saat trimester ke-2 adalah masa yang paling seronok untuk dihadapi berbanding dengan trimester pertama & ke-3. Ini adalah kerana kesakitan dan ketidakselesaan akibat morning sickness yang dilalui pada sepanjang trimester pertama sudah beransur hilang dan kebanyakan ibu2 akan merasa lebih bertenaga apabila kehamilan masuk trimester ke-2.
14 Perubahan biasa yang terjadi pada kehamilan trimester ke-2:-
1. PERUT SEMAKIN MEMBESAR
Perut ibu akan semakin membesar sejajar dengan pertambahan usia kehamilan. Kebiasaannya, pada kehamilan minggu ke-12, fundus (bahagian atas rahim) terletak di bahagian atas sedikit daripada tulang pubik dan bermula saat ini, rahim akan terus membesar lebih kurang 1 cm setiap minggu. Manakala pada usia kehamilan minggu ke-20, fundus akan terletak sejajar dengan pusat ibu. Akan tetapi, hal ini mungkin tidak sama untuk setiap orang. Namun, kebanyakan perut ibu akan mula kelihatan membesar dengan lebih ketara pada kehamilan minggu ke-16.
2. SENDAWA DAN BUANG ANGIN
Sendawa dan buang angin @ kentut adalah perkara normal yang setiap ibu akan mengalaminya sepanjang kehamilan. Ini adalah kerana tindakbalas peregangan pada bahagian usus sehingga menyebabkan ibu2 sering berasa kembung perut. Hal ini masih boleh diatasi dengan pengurangan jumlah kuantiti pengambilan makanan serta menghindari makanan-makanan yang boleh mencetuskan angin seperti jagung dan bawang merah.
3. PELUPA
Biarpun tiada kajian saintifik mengenai masalah ini. Namun melalui pemerhatian, didapati wanita hamil kerap menjadi pelupa. Hal ini dapat diatasi dengan menyediakan buku catatan sebagai gantian memori yang semakin singkat serta mendapat rehat yang secukupnya untuk menenangkan fikiran.
4. PEDIH HULU HATI
Peningkatan kadar hormon progesteron menyebabkan proses pencernaan berlaku dengan lebih lambat dan faktor pembesaran rahim yang mula memasuki ruang abdomen mendorong kadar asid yang terletak di dalam perut naik kebahagian kerongkong sehingga menyebabkan rasa pedih. Wanita hamil dicadangkan agar tidak mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sebelum tidur. Selain daripada itu, makanan-makanan yang pedas, berminyak dan berlemak mestilah dijauhkan sebagai langkah mengatasi masalah ini. Tips lain, tinggikan kepala semasa tidur bagi mengelakkan asid perut naik ke bahagian esofagus.
5. PERTUMBUHAN RAMBUT DAN KUKU
Perubahan hormon semasa hamil meguatkan kuku dan kadar oertumbuhan rambut yang lebih lebat. Mungkin bagi sesetengah wanita hamil mendapati pertumbuhan rambut di bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya seperti di muka dan perut. Namun, keadaan ini tidak perlu dirisaukan kerana bulu-bulu yang tumbuh tersebut akan hilang sebaik sahaja selepas bersalin.
6. SAKIT DI BAHAGIAN BAWAH PERUT
Keadaan ini biasanya terjadi pada kehamilan minggu ke18-24. Ini adalah kerana proses pembesaran rahim menyebabkan peregangan ligamen dan otot di sekitarnya. Ketidakselesaan ini hanyalah bersifat sementara dan ianya boleh di atasi dengan duduk atau berbaring.
7. PENING KEPALA
Proses pembesaran rahim akan memberi tekanan kepada pembuluh darah besar sehingga menyebabkan tekanan darah wanita hamil sedikit menurun. Oleh itu, ibu2 dinasihatkan agar tidak mengubah posisi secara mengejut, tetapi secara perlahan-lahan dan berperingkant-peringkat untuk mengelakkan perubahan tekanan darah yang mendadak.
8. BERDENGKUR
Peningkatan aliran darah semasa proses kehamilan akan menyebabkan sesak dan pembengkakan membran mukosa yang menimbulkan dengkuran semasa tidur.
9. HIDUNG DAN GUSI BERDARAH
Peningkatan aliran darah dan perubahan hormon dalam badan wanita menyebabkan berlakunya hidung atau gusi berdarah. Guna berus gigi yang lembut semasa memberus gigi bagi mengelakkan terjadinya pendarahan gusi yang lebih serius.
10. PERUBAHAN KULIT
Satu garisan (linea nigra) berwarna kecoklatan dari pusat ke tulang pubik akan mulai jelas kelihatan. Kadangkala timbul juga bintik-bintik yang berwarna kecoklatan yang dikenali sebagai chloasma atau topeng kehamilan di wajah wanita hamil. Ini sebenarnya memberi petunjuk bahawa badan wanita itu memerlukan lebih asid folik. Rekahan akibat peregangan kulit biasanya terjadi pada perut dan payudara. Regangan kulit itu juga mengakibatkan kulit terasa gatal.
11. PAYUDARA
Payudara wanita hamil akan terus membesar dan mengeluarkan cairan yang kekuningan yang disebut kolostrum. Putting dan sekitarnya (aerola) akan menjadi semakin bewarna gelap dan besar dan bintik-bintik kecil mungkin akan timbul di sekitar puting.
12. KRAM KAKI
Kram otot ini terjadi kerana masalah peredaran darah yang tidak lancar yang biasanya berlaku semasa hamil. Keadaaan ini dapat dielakkan dengan meletakkan kaki tinggi sedikit dari jantung semasa tidur agar darah dapat mengalir lebih lancar serta mendapat bekalan kalsium secukupnya.
13. EDEMA
Hampir 40% wanita mengalami bengkak pada kaki, wajah dan tangan semasa hamil. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan hormon yang mengakibatkan pengumpulan air di dalam badan. Oleh itu, elakkan berada di dalam satu-satu posisi dalam satu jangkamasa yang lama.
14. GERAKAN BAYI
Biasanya gerakan bayi dapat dirasa seawal minggu ke-15. Namun, bagi ibu-ibu yang baru pertama kali mengandung, seringkali tidak dapat membezakan lagi di antara gerakan bayi dan angin dalam perut sehingga kehamilan minggu ke 19-22 kerana gerakan bayi ini sebenarnya terasa seperti kibasan pada peringkat awalnya.
shawqunnur.blogspot.com ®
No comments:
Post a Comment
The owner of the blog will response to your comment shortly. Jazakumullah.