Monday, July 15, 2013

Ulangkaji Ilmu Rumahtangga

Dah 4 tahun ++ bergelar suami isteri ni mungkin dah mula lupa tentang apa yang dibacakan oleh Tok Qadhi dalam khutbah nikah dulu.. Jadi hari ni Mami nak revise & highlight sikit tentang tanggungjawab2 suami isteri dalam perkahwinan yang Mami baca dari Blog Ustaz Wahab baru2 ni. Mami taknak bercakap tentang kewajipan memberi nafkah zahir batin mahu pun bab2 tentang taat mentaati, tapi yang Mami nak sentuhkan di sini lebih kepada tanggungjawab yang dikongsi bersama di antara suami isteri yang mana pada Mami, perkara2 ni seringkali terlepas pandang oleh pasangan suami isteri itu.

Di antara tanggungjawab bersama bagi setiap pasangan suami isteri ialah:
  1. Mengekalkan kerukunan rumahtangga
  2. Memelihara dan menjaga anak-anak
  3. Memberi pendidikan yang sempurna
  4. Memberikan layanan yang saksama kepada keluarga kedua-dua belah pihak
  5. Menyediakan rawatan dan perubatan
  6. Menjamin keselamatan
Mengekalkan kerukunan rumahtangga
Sedangkan lidah lagikan tergigit apa pula suami isteri, kata bidalan yang cukup sinonim dengan hubungan suami isteri. Perbalahan kecil sesama pasangan itu adalah normal dan wajar. Persefahaman merupakan kata kunci utama dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga yang mana melalui perhubungan yang serasi dan harmoni antara suami isteri, natijahnya adalah suami isteri itu akan lebih mengenali antara satu sama lain luar dan dalam. Mereka juga lebih arif dengan apa yang dimahukan oleh pasangan dan saling berusaha untuk menggembirakan pasangan. Apa jua masalah yang timbul WAJIB dibincangkan bersama, masing-masing memberi dan mendengar pendapat dan bukannya keputusan yang terpaksa dipersetujui dengan kuasa veto si suami.

Memelihara dan menjaga anak-anak
Bila pasangan itu membuat keputusan untuk berkahwin, secara tidak langsung mereka perlu membuat persediaan untuk menerima kehadiran anak-anak serta merencanakan masa depan setiap anak yang dilahirkan. Benar, ibu yang mengandungkan dan melahirkan anak-anak. Tetapi tugas memelihara dan membesarkan anak-anak bukan terletak di bahu ibu sahaja. Kebanyakan lelaki (suami) dalam masyarakat kita mempunyai tanggapan yang salah bahawa menguruskan anak-anak adalah tugas wanita (ibu) sedangkan ianya adalah tanggungjawab bersama. Sudahlah isteri bersusah payah mengandung membawa perut yang besar dan berat selama 9 bulan, mengharungi proses bersalin yang sangat menyakitkan, bersengkang mata menyusukan anak di tengah-tengah malam dikala suami di sebelah lena diulit mimpi, si suami tanpa ada perasaan bersalah dan segan terus membebankan isteri dengan tugas melayan anak-anak pula. Sepatutnya kerja-kerja mudah seperti membuat susu, memandikan, menyalin lampin, membuaikan anak mahu pun menghantar/mengambil anak ke sekolah/pengasuh boleh dilakukan oleh si ayah tanpa perlu membebankan kepada ibu.

Memberi pendidikan yang sempurna
Ibu bapa adalah cermin anak-anak. Buruk baik anak-anak tertakluk kepada cara asuhan ibu bapanya kerana setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) dan ibu bapanyalah yang akan membentuknya samada menjadi manusia yang berguna ataupun sia-sia. Ini memerlukan perancangan yang awal sedari dalam kandungan lagi. Pendedahan ilmu duniawi dan ukhrawi hendaklah seiring. Rumah pula adalah sekolah terawal untuk anak-anak. Maka ibu bapa bertanggungjawab mempersiapkan diri dengan skill dan ilmu yang boleh mendidik anak-anak dengan sempurna. Contohnya, jika ibu bapa mahukan anaknya menjadi seorang yang huffaz, sekurang-kurangnya ibu bapa itu wajib celik al-quran. Memberikan pendidikan yang sempurna dan pendidikan yang sempurna bukanlah bermaksud menyekolahkan anak-anak di tempat-tempat pengajian yang high standard dan mahal kerana apa yang penting adalah ilmu yang diperolehi itu boleh dimanfaatkan.

Memberikan layanan yang saksama kepada keluarga kedua-dua belah pihak
Perkahwinan bukan hanya melibatkan kedua-dua pasangan suami isteri, malah institusi perkahwinan itu termasuklah 'mengahwini' keluarga di kedua-dua belah pihak. Memang benar, syurga isteri selepas berkahwin adalah ditelapak kaki suaminya, malah isteri juga mestilah mengutamakan suami/keluarga suami. Namun demikian, pihak suami WAJIB bersikap adil dan saksama terhadap keluarga isteri. Mentang-mentanglah isteri tidak boleh mengingkari suami, maka suami mengambil kesempatan untuk menafikan hak isteri sebagai anak kepada ibu bapanya. Contohnya, jika dalam keadaan di mana keluarga isteri mengharapkan anak mereka untuk turut serta di dalam sesuatu acara, maka suami mestilah meraikan keluarga mertuanya dengan turut menyertai acara tersebut.  

Menyediakan rawatan dan perubatan
Sangat wajar bagi pasangan suami isteri untuk saling tolong menolong antara satu sama lain lebih-lebih lagi dalam hal kesihatan. Suami isteri adalah pelengkap kehidupan, jika salah seorang daripada keduanya jatuh sakit, maka pasangan yang seorang lagi akan turut merasakan impaknya. Dalam konteks ini juga, suami isteri bertanggungjawab untuk menyediakan rawatan dan perubatan bukan sekadar untuk diri masing-masing, malah ianya meliputi kesihatan anak-anak.

Menjamin keselamatan
Keselamatan meliputi keselamatan tempat tinggal dan termasuklah juga kawasan persekitarannya. Kediaman yang selesa memberi jaminan keselamatan yang optimum. Jaminan keselamatan pula bukan sekadar spesifikasi bangunan kediaman yang kukuh, malah ianya termasuklah juga menyediakan satu keadaan yang selamat daripada ancaman penjahat, perompak mahu pun binatang buas dll.
   
shawqunnur.blogspot.com ®

No comments:

Post a Comment

The owner of the blog will response to your comment shortly. Jazakumullah.